Monday, January 19, 2009
Perahu di Kampung Ayer
Perahu ialah kenderaan air yang diperbuat daripada kayu yang mempunyai geladak, lancip pada kedua-dua hujungnya dan lebar di tengahnya. Perahu telah digunakan sekitar tahun 1930an sebagai pengangkutan orang ramai di kampong Ayer. Perahu merupakan kenderaan yang sangat penting di Kampung Ayer. Perahu digunakan untuk menangkap ikan, berjual dan berjaja serta mengangkut penumpang. Orang yang berjual dan berjaja di kampung Ayer dipanggil 'Padian'. Mereka terdiri dari kaum perempuan yang menjual barang-barang keperluan dari rumah ke rumah. Perahu yang dijadikan sebagai alat pengangkutan dan perhubungan dinamakan 'Perahu Penambang'. Pemandunya di panggil 'Penambang'. Penambang akan mengangkut penumpangnya yang terdiri dari penduduk kampong Ayer untuk bekerja ke Bandar Seri Begawan.
Diawal kewujudan Kampung Ayer hampir semua rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah perahu. Pada masa itu perahu hanya didayung mengunakan pengayuh. Untuk sampai kesatu tempat memakan masa yang lama terutamanya ke tebing Bandar Seri Begawan. Perahu pada masa itu dinamakan 'Gubang'. Gubang ialah perahu yang diperbuat daripada batang kayu balak yang dibelah dua kemudian ditebuk di tengah-tengah kira-kira boleh menampung beberapa orang didalamnya. Gubang amat sedikit pada masa itu disebabkan hanya sedikit sahaja penduduk kampung Ayer mahir membuatnya. Memandangkan hanya beberapa buah perahu Gubang sahaja terdapat di Kampung Ayer maka penduduk Kampung Ayer hanya pergi ke Bandar Seri Begawan atas urusan yang penting sahaja. Menurut Haji Rendah bin Dollah seorang penambang yang aktif dalam tahun 70an berasal dari kampung Peramu, dalam sekitar tahun 1949 upah yang diberikan pada pengayuh perahu Gubang ialah sepuluh sen.
Sekitar tahun 50an, setelah berlaku perubahan terhadap bentuk perahu apabila enjin perahu mula digunakan di negara ini. Enjin tersebut dikenali sebagai “Sea Gull” yang lebih dikenali dikalangan orang Brunei sebagai “Sigal”. Bentuk perahu berubah dibahagian belakang sebagai tempat menyimpan enjin. Bermula dari tahun tersebut berbagai jenama enjin telah digunakan seperti Johnson dan Evinrude. Kuasa kuda setiap enjin juga berlainan ada diantaranya tiga kuasa kuda, lima kuasa kuda hinggalah lapan belas kuasa kuda. Dengan tingginya kuasa kuda enjin bermakna semakin mudah dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Hanya orang-orang yang berkemampuan sahaja memiliki perahu menggunakan enjin. Dengan perubahan ini perahu gubang telah pupus perlahan demi perlahan dan hanya digunakan oleh padian dan pengalu sahaja untuk menjual jualan mereka di sekitar Kampung Ayer.
Perahu penambang mula terkenal setelah penggunaan enjin diperkenalkan. Dalam sekitar tahun tujuh puluhan tambang yang dikenakan kepada penumpang adalah sekitar dua puluh sen hingga tiga puluh sen seorang untuk sekali jalan. Manakala jika penumpang ramai hingga melebihi 5 orang akan memberikan upah $1.00 sekali jalan. Pada masa ini upah yang dikenakan meningkat mengikut keperluan masa iaitu sekurang-kurangnya lima puluh sen hingga satu ringgit setiap seorang untuk sekali jalan dan mengikut jauh perjalanan.
Pada masa ini hanya perahu penambang sahaja yang kelihatan berligar di sekitar Kampung Ayer untuk mengangkut penumpangnya berulang alik dari Kampung Ayer ke Bandar Seri Begawan.
Artikel in merupakan sebahagian dari esei bagi kajian lapangan Warisan Kampung Ayer tajuk 'Pemburis di Kampung Setia' oleh Hj Ayop, Hj Md Said, Musa, Yahya, Aiadah, Floreda, Latifah, Hjh Rosni, Norhani, Sarimah, Sariah & Rosni. Kandungannya telah disusun semula. Insya Allah sambungan akan menyusul kemudian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Hebat, sejarah penduduk kampong ayer secara amnya telah pun diceritakan. Memandangkan pihak kagumi telah menyatakan bahawa hal ini merupakan sebuah kajian, saya ingin bertanya; bagaimanakah cara pembayaran perkhidmatan perahu tambang ini, dan berapa harganya?- mengikut kepala, umur, perjalanan, atau muatan?
Cara pembayaran perkhidmatan perahu tambang adalah seperti berikut:
Pada awal zaman mulanya penggunaan perahu tambang tersebut, setiap seorang penumpang hanya di kenakan bayaran 20sen sahaja (dan boleh mencecah $1 jika perjalanan agak jauh).
Manakala pada masa ini, penumpang di kenakan bayaran 50 sen seorang (dan $1 jika perjalanan agak jauh)
Kanak-kanak yang berusia 5 tahun ke bawah adalah percuma sahaja.
Post a Comment