Thursday, January 22, 2009

Pemburis Kampung Setia A & B


Pekerjaan memburis perahu sudah lama wujud di Negara Brunei Darussalam dan masih kekal hingga ke hari ini khususnya di kampong Ayer. Diantara kampung yang terkenal mempunyai ramai pemburis ialah Kampung Setia A & B. Perahu yang ditempah adalah digunakan untuk menambang dan menangkap ikan. Menambang di kampung Ayer ialah mengangkut penumpang yang berulang alik penduduk kampung Ayer ke Bandar Seri Begawan mengunakan perahu. Harga tambang yang dikenakan untuk sekali perjalanan ialah lima puluh sen dan seringgit mengikut jauh perjalanan.


Memburis perahu mendatangkan pendapatan lumayan dan mampu menyara kehidupan sekeluarga. Orang yang memburis perahu dikenali sebagai 'Pemburis'. Terdapat ramai pemburis di kampung ini diantaranya Haji Baba bin Haji Mohamad Noor, Haji Buntan bin Haji Kalong (Kg Setia B), Haji Kasim bin Haji Bakar dan Haji Saibun bin Sahar, Menurut Haji Baba, pendapatan dari memburis perahu adalah sangat lumayan dan membolehkan Haji Baba dan isterinya menunaikan fardhu haji dan umrah beberapa kali. Perkara ini diakui juga oleh Haji Saibun dan Haji Kasim. Haji Buntan semakin aktif memburis setelah beliau tamat perkhidmatan sebagai pegawai bomba.


Haji Baba merupakan salah seorang pemburis yang aktif dan popular dikalangan pemburis di kampung Setia. Hasil pekerjaan Haji Baba sangat halus dan membuatkan ramai pemburis berminat untuk menempah perahu dari beliau. Menurut Haji Baba, kemahiran yang dimiliki adalah hasil pemerhatian terhadap bapa mertua beliau Awang Hj Bakar bin Jafar. Beliau tidak pernah menawarkan kepada orang ramai untuk membuat perahu tetapi penambang dan pihak tertentu datang ke rumah beliau untuk membuat tempahan. Disamping tempahan dari para penambang, Haji Baba juga pernah menerima tempahan dari kerajaan iaitu membuat perahu jenis temuai bagi kegunaan Jabatan Laut dan Jabatan Sekolah-Sekolah.

Perahu yang ditempah adalah berharga sekitar seribu dua ratus ringgit dan mengikut ukuran tempahan yang diperlukan. Perahu boleh disiapkan kurang dari satu bulan mengikut keadaan perahu yang ditempah. Menurut Haji Baba pekerjaan memburis perahu akan terus mendatangkan hasil yang lumayan dan mampu menyara hidup selagi perahu dijadikan sebagai pengangkutan yang penting di kampung ayer. Perahu yang diperbuat dari kayu sangat sesuai digunakan untuk menambang di kampung Ayer berbanding perahu yang diperbuat dari 'fiber-glass', ini kerana perahu kayu agak keras, tahan dan tidak mudah pecah ketika mendarat di jeti sungai Brunei.


Dalam membuat perahu ini, Haji Baba terus mengunakan alatan tradisional disamping alatan moden. Diantara alatan tradisional itu ialah kapak, beliung, ketam kayu, gergaji, pahat, tukul, gerudi, penyukat, sesiku, bais besi, olak-olak , sapit-sapit, pembahas dan tali pembahas, baji kayu dan gergaji besi. Alatan moden pula ialah seperti ketam elektrik, drill elektrik, gam 'EP Glue'. Pengunaan alatan moden membantu mempercepat kerja memburis dan kerja-kerja yang halus.


Menurut Haji Baba terdapat beberapa petua dan pantang larang patut dipatuhi dalam memburis seperti pasak tidak boleh dipasang selari kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pemandunya.

No comments: